Header Ads

ad

Coronavirus 8 Individu Dikuarantin Di sebuah Hotel di JB


Lapan individu warganegara China yang tiba di Johor Bahru, Johor dari Singapura semalam kini diletakkan di sebuah hotel dengan pemantauan dan kawalan rapi Kementerian Kesihatan.

Timbalan Menteri Kesihatan Dr Lee Boon Chye berkata kesemua mereka merupakan rakan seperjalanan seorang lelaki warganegara China berusia 66 tahun dari Wuhan yang tiba di Singapura pada 20 Jan lepas sebelum disahkan positif novel coronavirus import.

Menurut Dr Lee, kesemua lapan individu terbabit perlu diasingkan sekurang-kurangnya satu minggu bagi mengenal pasti sekiranya mempunyai simptom coronavirus.



"Mereka bukan pesakit tetapi mereka dipantau untuk dikuarantin bagi melihat sama ada terdapat simptom atau tidak kerana mereka ada hubungan dengan pesakit yang positif coronavirus. Tetapi buat masa ini, mereka tidak ada (simptom),” katanya kepada pemberita selepas meninjau ketibaaan penerbangan dari Singapura di Lapangan Terbang Sultan Azlan Shah (LTSAS) di sini, hari ini.

Dalam pada itu, Dr Lee berkata pihaknya akan mempertingkatkan penggunaan mesin pengimbas suhu badan bagi mengesan virus coronavirus di semua kawasan lapangan terbang dan pintu masuk negara.

"Kita akan mempertingkatkan peralatan untuk buat saringan suhu badan di semua lapangan terbang dan pintu masuk," katanya.


Pada 23 Januari 2020, negara Singapura telah memaklumkan satu kes import novel coronavirus (2019-nCoV) melibatkan seorang lelaki, warganegara China dari Wuhan berumur 66 tahun. Berikutan dengan pelaporan tersebut, Kementerian Kesihatan Singapura telah menghubungi Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) untuk memaklumkan terdapat seramai lapan (8) orang kontak rapat dengan kes tersebut yang sedang berada di Johor Bahru, Malaysia. Lapan kontak tersebut adalah terdiri daripada empat (4) orang dewasa dan empat (4) orang kanak-kanak dan kesemuanya adalah dari negara China.

Dengan perkongsian maklumat tersebut pihak Jabatan Kesihatan Negeri (JKN) Johor telah bertindak segera dengan mengesan kesemua kontak tersebut berkenaan dan melakukan saringan kesihatan bagi memeriksa status kesihatan mereka. Hasil saringan menunjukkan mereka sihat dan tiada tanda-tanda ataupun gejala jangkitan sehingga hari ini. Sampel klinikal juga telah diambil di kalangan kontak ini untuk ujian pengesanan 2019-nCoV. Jabatan Kesihatan Negeri Johor akan terus memantau tahap kesihatan harian mereka sehingga 14 hari atau sehingga mereka pulang ke negara asal atau yang mana terdahulu.


Sehingga 24 Januari 2020, tiada kes yang disahkan novel coronavirus (2019-nCoV) dilaporkan kepada JKN Johor, mahupun kepada KKM. Kementerian Kesihatan Malaysia merakamkan penghargaan di atas kerjasama rapat dan perkongsian maklumat kesihatan berkaitan yang diberikan oleh Kementerian Kesihatan Singapura. Kolaborasi dua hala ini akan terus diperkukuhkan di antara Kementerian Kesihatan kedua-dua negara. KKM akan terus memantau perkembangan terkini wabak 2019-nCoV di China dari semasa ke semasa melalui maklumat yang diperolehi daripada pihak Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) dan sumber-sumber rasmi yang lain.

Sekian, terima kasih.

DATUK DR.NOOR HISHAM BIN ABDULLAH
KETUA PENGARAH KESIHATAN MALAYSIA
24 JANUARI 2020

KREDIT -- BERNAMA

No comments

Powered by Blogger.