Header Ads

ad

IbuBapa Sila Ambil Perhatian... Lagi Kes Terbaru Kanak-Kanak Positif Difteria di Johor Bahru....



PERHATIAN WARGA JOHOR BAHRU

Beberapa hari lepas dilaporkan telah berlaku satu kes kematian kanak-kanak 2 tahun akibat difteria. Setelah siasatan, kanak-kanak berkenaan didapati tidak menerima apa-apa vaksin.

Hari ini pula dilaporkan 5 orang kanak-kanak berumur empat tahun ke bawah telah dikuarantin di HSAJB, kerana positif difteria.

Seperti yang ramai maklum, seorang kanak-kanak lelaki berusia 2 tahun telah meninggal dunia pada Khamis lalu akibat difteria.

Terbaru, 5 lagi kanak-kanak di Johor positif difteria termasuk kakak kepada kanak-kanak lelaki yang meninggal dunia tersebut.


KINI BERADA DI HOSPITAL SULTANAH AMINAH

Pengerusi Jawatankuasa Kesihatan, Alam Sekitar dan Pertanian negeri, Dr Sahruddin Jamal berkata, kesemua 5 orang kanak-kanak berusia bawah 4 tahun itu pernah berhubungan atau bertemu mangsa dan mereka antara 52 orang yang dikesan hasil saringan dilakukan Jabatan Kesihatan Johor.

Mereka mempunyai hubungan berdekatan kediaman, selain berada di taska.

“Mereka semua dimasukkan ke Hospital Sultanah Aminah (HSA) semalam untuk pengasingan wad selepas mempunyai simptom penyakit berkenaan,” katanya pada sidang media di menerusi Harian Metro.

DIBERI ANTIBIOTIK

Pemberian antibiotik selama 14 hari diberikan kepada semua kanak-kanak itu dan ia akan dianggap berjaya serta populasi normal sekiranya keputusan negatif.

Sekiranya pemberian ubat itu berkesan, 3 pesakit iaitu dua kanak-kanak perempuan dan seorang kanak-kanak lelaki akan dibenarkan keluar wad dan pulang ke rumah.

“Ini kerana semua kanak-kanak itu sudah mendapatkan rawatan sejak 19 Februari lalu, (dan) selepas lebih 48 jam dirawat, penyakit itu tidak aktif kepada populasi,” katanya.

Namun, 2 lagi pesakit iaitu kakak kepada pesakit yang telah meninggal dunia dan seorang lagi kanak-kanak lelaki masih dikuarantin.



4 DARIPADA 5 KANAK-KANAK TERSEBUT MENERIMA IMUNISASI

Dimaklumkan bahawa 4 orang kanak-kanak yang terkena jangkitan difteria ini telah divaksin kecuali kakak kepada mangsa yang telah meninggal dunia.

Untuk pengetahuan, penyakit ini tersebar melalui air liur dan peluh yang mempunyai hubungan secara langsung dengan pesakit.

Justeru pihak Kesihatan telah melaksanakan saringan termasuk sesiapa yang pernah melawat lokasi tempat mereka tinggal termasuk klinik swasta, kakitangan hospital dan di taska.

Katanya, keadaan kanak-kanak berkenaan stabil, selain memastikan mereka tidak menjangkiti orang lain.

IBU AYAH KENA ALERT

Jangkitan difteria ini amat merbahaya dan boleh menyebabkan maut sekiranya lambat mendapatkan rawatan, apatah lagi jika tidak divaksin.

Oleh itu, ibu ayah kena peka dengan simptomnya yang seakan-akan tonsil.

Yang paling penting, lengkapkan imunisasi mengikut jadual yang ditetapkan oleh KKM.

Kerajaan Negeri Johor akan mengkaji untuk mewajibkan ibu bapa memberi suntikan vaksin imunisasi kepada anak-anak mereka sekali gus mengelakkan sebarang risiko berikutan tidak memberikan suntikan berkenaan.

Pengerusi Jawatankuasa Kesihatan, Alam Sekitar dan Pertanian negeri, Dr Sahruddin Jamal berkata hal ini berikutan penyakit dan kes yang jarang ditemui seperti difteria yang kini sudah mula dikesan di negeri ini.

Beliau berkata kerajaan negeri juga bersetuju dan menyokong cadangan Kementerian Kesihatan untuk mewajibkan suntikan vaksin imunisasi.

"Jika Kerajaan Persekutuan ingin mewajibkan vaksinasi atau memberi hukuman dan denda kepada mereka yang mengelak untuk diberi vaksinasi, saya sangat setuju.

"Maknanya, kita beri penekanan wajib kepada semua untuk diberi suntikan itu," katanya kepada pemberita selepas merasmikan sambutan Hari Kanser Sedunia peringkat Johor, di sini, pada Ahad.

Beliau berkata demikian sebagai mengulas kenyataan Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr Dzulkefly Ahmad, pada Sabtu, yang akan membentangkan cadangan dan dasar supaya suntikan vaksin imunisasi diwajibkan.

Dzulkefly berkata, Kementerian Kesihatan mendapat 'desakan' kuat pelbagai pihak supaya kerajaan mempertimbang mewajibkan imunisasi vaksin berikutan keengganan ibu bapa mengambil suntikan sehingga menyebabkan berlaku kes kematian.



Dalam pada itu, Sahruddin berkata sebanyak 90 peratus kanak-kanak di negeri ini menerima suntikan vaksin imunisasi yang disarankan Kementerian Kesihatan.

"Kebanyakan ibu bapa salah anggap tentang kepentingan vaksin dan kebanyakan penyakit yang boleh menyebabkan kematian jika tidak diberi vaksin adalah penyakit pertusis, difteria dan campak," katanya.

Justeru itu, beliau berkata ibu bapa disarankan supaya peka mengenai pelbagai maklumat yang diberikan oleh golongan profesional seperti doktor bertauliah berbanding mendengar sebarang maklumat daripada golongan anti vaksin bagi mengelak kejadian tidak diingini.

Kredit Siraplimau.com

No comments

Powered by Blogger.